DUNGUN – Seorang juruteknik elektrik maut selepas kenderaan dipandunya terbabas di Kilometer 347, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Dungun di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.20 pagi itu, mangsa, M. Suraya Khalij Mohammed, 46, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman dari rumahnya di Ajil, Hulu Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira Aeroback dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang hilang kawalan.
“Kenderaan itu kemudiannya terbabas sebelum terlanggar bahagian pembentung di kiri jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Baharudin berkata, M. Suraya telah dikeluarkan pasukan bomba dari keretanya sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Beliau berkata, mayat lelaki tersebut telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE