fbpx

Jual bahan bakar tanpa subsidi di negeri sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (dua dari kanan) melihat proses pembungkusan minyak masak di sebuah kilang di Kangar, hari ini.

KANGAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini di peringkat akhir memperkenalkan peraturan baharu bagi mengekang ketirisan bahan bakar bersubsidi ke negara jiran.

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, peraturan baharu itu juga pada masa sama akan menambah nilai ekonomi di kawasan sempadan.

“Pelaksanaan tersebut adalah di bawah Program Ekonomi Sempadan – Pembekalan Petrol RON95 & Diesel Tanpa Subsidi.

“Ia antara lain hanya membenarkan pembelian petrol RON95 dan diesel tanpa subsidi oleh kenderaan berpendaftaran asing di negeri yang bersempadan dengan negara jiran,” katanya selepas merasmikan kilang pembungkusan minyak masak Halipah di sini hari ini.

Kata beliau, kementerian memandang serius masalah ketirisan petrol RON95 dan diesel bersubsidi yang berlaku di negeri-negeri bersempadan.

“Subsidi minyak tersebut yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia didapati turut dinikmati oleh warga negara lain dan perkara ini tidak sewajarnya berlaku.

“Bagi tujuan kawalan, arahan Pengawal Bekalan telah dikeluarkan pada 17 Jun lalu mengenai ketetapan larangan penjualan petrol RON95 dan larangan menjual diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan berpendaftaran asing.

“Walau bagaimanapun didapati terdapat kes-kes dikesan yang mana kenderaan asing telah mengisi diesel bersubsidi dalam kuantiti yang dihadkan, tetapi di beberapa stesen minyak berasingan secara bergiliran,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata, langkah menerusi program berkenaan diambil bagi mengekang isu yang sedang dihadapi.

Kosmo! pada 22 November lalu melaporkan kehadiran kenderaan asing dari Thailand yang semakin rancak ‘mengatur’ stesen minyak sejak awal November sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat berhubung aktiviti menyeludup bahan api bersubsidi itu ke negara jiran.

Mereka mendakwa sebilangan stesen minyak sesak dengan trak pikap pada waktu pagi dan petang sewaktu penduduk sibuk pergi dan pulang dari tempat kerja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI