JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyatakan bahawa sesiapa yang memegang jawatan Gabenor Jakarta perlu menyelesaikan projek pemulihan semula 13 sungai di ibu kota negara itu bagi mengatasi masalah banjir, lapor portal berita Kompas.com semalam.
Beliau memberitahu, penyandang jawatan itu perlu menyelesaikan masalah tersebut kerana ia terkandung dalam rancangan induk pemerintah.
“Banjir di Jakarta itu siapa pun gabenornya harus konsisten menyelesaikan pemulihan semula 13 batang sungai yang ada di Jakarta,” katanya ketika merasmikan Empangan Ciawi di Jawa Barat semalam.
“Kalau tidak selesai, sampai bila pun Jakarta akan selalu banjir. Siapa pun gabenornya harus konsisten menyelesaikan (masalah banjir di Jakarta),” kata Jokowi.
Katanya lagi, Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat (PUPR) juga perlu segera menyelesaikan projek pembinaan terusan dari Sungai Ciliwung ke Saluran Banjir
Jokowi juga meminta Pejabat Gabenor Jakarta, Heru Budi Hartono dan Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil untuk menyelesaikan masalah banjir dengan konsisten di kawasan masing-masing.
Empangan Ciawi dan Sukamahi yang dirasmikan Jokowi itu didakwa dapat mengurangkan jumlah wilayah di Jakarta daripada dilanda banjir. – Agensi