fbpx

Dividen ASB 4.6 peratus, Tabung Haji berapa pula?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Bagi mereka yang ada banyak duit dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), mungkin boleh menarik nafas lega dengan pengumuman kadar dividen sebanyak 4.6 peratus serta 0.5 peratus bonus tambahan yang diumumkan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kelmarin.

Walaupun kadar itu agak rendah berbanding sebelum ini, namun ia dilihat masih kompetitif dalam keadaan pasaran yang agak sukar ketika ini.

Setidak-tidaknya, dividen yang diterima itu bolehlah digunakan oleh 10.6 juta pemegang unit ASB di kala terdesak terutamanya untuk menguruskan pelbagai perbelanjaan wajib pada setiap awal tahun.

Secara hakikatnya, pengumuman kadar dividen dan bonus ASB dan satu lagi tempat simpanan utama orang Melayu iaitu Tabung Haji sering dinanti-nantikan ramai. Dua institusi inilah menjadi tempat pelaburan yang selamat kepada majoriti rakyat sebab dijamin kerajaan.

Kerana keyakinan itu, maka ramai dalam kalangan kita menyimpan wang mereka di ASB dan Tabung Haji dengan harapan untuk mendapat pulangan yang baik pada setiap tahun. Tinggal lagi, jumlah pelaburan bagi setiap individu akan berbeza mengikut tahap kemampuan masing-masing.

Jumlah pelaburan bukanlah soalnya, tetapi yang paling penting ialah sikap menabung itu sendiri perlu disemai oleh setiap individu selain tempat pelaburan itu pula mestilah pada institusi yang betul supaya simpanan mereka tidak sia-sia dan mendapat pulangan yang baik.

Masalahnya sekarang, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tamak dan hanya mahukan untung yang besar dalam tempoh yang singkat. Kerana itu, ramai daripada golongan tersebut mudah terpedaya dengan pelbagai skim penipuan cepat kaya.

Macam-macam bentuk pelaburan cepat kaya timbul saban tahun. Peliknya, akan ada sahaja individu yang terperangkap dengan kelicikan penipuan skim ini.

Para penganjur skim cepat kaya ini memang pakar dengan pelbagai tipu muslihat serta helah bagi menarik dan memperdayakan mangsa-mangsa mereka. Jadi usahlah terkejar-kejar sangat dengan janji-janji manis penganjur skim cepat kaya ini kerana akhirnya kita juga yang akan merana.

Bagi mengelakkan perkara ini, pihak ASB dan Tabung Haji seharusnya sedar bahawa masih ramai di luar sana yang mempunyai banyak wang tetapi tidak tidak melabur dengan mereka.

Jadi apalah salahnya kalau lepas ini, berusahalah untuk mengagihkan kadar dividen yang lebih tinggi supaya lebih ramai akan tertarik untuk melabur di kedua-dua institusi itu dan bukannya dengan skim cepat kaya.

Kita faham, negara bakal berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu pada tahun 2023, namun jujurnya ramai pelabur ASB dan Tabung Haji sebenarnya menaruh harapan tinggi kepada kedua-dua institusi itu untuk mengagihkan kadar dividen dan bonus yang lebih baik pada setiap tahun.

Pastinya kini, seramai 8.4 juta pendeposit di Tabung Haji pula ternanti-nanti dengan pengumuman agihan dividen dan bonus yang akan dibuat oleh institusi tersebut tidak lama lagi. Harapnya ia tidak mengecewakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI