PETALING JAYA – Pencalonan untuk Anugerah World Muslimpreneur masih lagi dibuka untuk usahawan muslim dan jenama milik perniagaan bersempena Majlis Anugerah World Muslimpreneur yang akan berlangsung pada 28 Januari 2023.
Ahli Lembaga Pengarah Sekretariat World Muslim, Prof. Adjung Adam Richman berkata, anugerah tersebut bertujuan untuk mengiktiraf, meraikan serta menghargai usahawan dan jenama milik perniagaan Muslim di Malaysia.
Ia juga bertujuan untuk membuktikan kemampuan dan daya saing mereka di dalam setiap cabang industri sepanjang era pandemik ini sekali gus menjadikan mereka antara perniagaan dan jenama yang terus berkembang sehingga ke hari ini.
“Sepanjang tahun 2020 hingga tahun 2022, dunia diuji dengan pandemik memberi impak kepada semua cabang ekonomi serta industri.
“Namun begitu, apabila dilihat daripada sudut positif, era itu telah melahirkan golongan usahawan yang berdaya tahan serta lebih pragmatik dalam memastikan survival perniagaan serta jenama mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Dianjurkan oleh Sekretariat World Muslimpreneur dengan Kerjasama IKON Malaysia dan Kaya N Kaya Viral Sdn. Bhd., Anugerah World Muslimpreneur turut di sokong oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Malaysian Consultative Council of Islamic Organization (MAPIM).
Anugerah World Muslimpreneur turut di Akreditasikan oleh Pertubuhan Pengarah-Pengarah Syarikat Malaysia (MOCAD) serta mendapat sokongan beberapa rakan setrategik termasuk ToyyibPay.
Tambah Adam Richman, penganjuran majlis anugerah ini adalah suatu ruang dan peluang bagi usahawan dan jenama milik Muslim mendapat pengiktirafan sewajarnya atas usaha serta kejayaan mereka dalam sektor ekonomi serta industri yang mereka ceburi.
“Sebenarnya, perniagaan serta jenama milik Muslim telah lama menjadi tunjang utama kepada pengukuhan serta peningkatan ekonomi dunia secara umumnya, serta Malaysia secara khususnya.
“Namun, mereka tidak mendapat pengiktirafan serta penghargaan yang sewajarnya. Justeru, dengan penganjuran Anugerah World Muslimpreneur ini, segala penat lelah serta pengorbanan mereka akhirnya akan mendapat perhatian yang sewajarnya”, ujarnya.