fbpx

Ajal dua biras serentak, ATV terjunam dalam parit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
kenderaan ATV dinaiki dua mangsa ditemui di dalam parit di Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas, Pontian kelmarin. Gambar kecil, Hasan (kiri) dan Abd. Rashid (kanan).

PONTIAN – Dua beradik tidak menyangka akan kehilangan orang tersayang dalam sekelip mata apabila suami masing-ma­sing maut selepas kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) ditungang terjunam kelmarin.

Mismah Taslim, 63, dan adik­nya, Ruslina, 60, masing-masing kehilangan suami, Hasan Ayob, 66, dan Abd. Rashid Abd. Malek, 63, ketika mangsa menunggang ATV di Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas di sini.

Mismah berkata, suaminya, arwah Hasan yang merupakan bekas pesara polis menemani adik iparnya, Abd. Rashid mengelilingi kampung menggunakan ATV yang baru dibeli pada hari kejadian.

Kejadian disedari selepas Misnah berasa tidak sedap hati kerana kedua-dua mangsa masih belum pulang selepas hampir sejam keluar dari rumah di Kampung Sri Gambut.

“Kenderaan itu baru dibeli, jadi mereka berdua mahu mencubanya dengan mengeliling kampung. Mereka keluar pada pukul 5 petang, tetapi saya rasa pelik sebab lama sangat dan tidak pulang ke rumah.

“Saya cuba menelefon mereka, tetapi tiada respons. Selepas itu ada penduduk kampung be­ritahu mereka terjatuh ke dalam parit bersama ATV yang ditunggang,” katanya ketika ditemui di Hospital Pontian di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, Abd. Rashid ditemui tertindih di bawah ATV tersebut, manakala mayat Hasan pula dalam keadaan berdiri me­nyandar dalam parit di sebelah kanan ATV.

Tambah ibu kepada empat anak itu, tiada sebarang perubahan berlaku ke atas suaminya yang sudah berpengalaman me­ngendalikan ATV.

Jelas Mismah, mereka mene­tap di Johor Bahru dan rumah di Kampung Seri Gambut ini dijadikan sebagai inap desa. Arwah Abd. Rashid yang me­rupakan pesara Jabatan Kesihatan turut membina rumah di kawasan sama.

Sementara itu, Ruslina memberitahu, arwah suaminya me­nerima ATV yang baru dibeli te­ngah hari kelmarin.

“Kenderaan itu dibeli pada harga RM5,000. Dia tidak pernah menunggangnya sebelum ini, jadi arwah minta abang ipar (Hasan) untuk mengajarnya mengen­dalikan kenderaan tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian Abd. Rashid di­sebabkan lemas Hasan pula meninggal dunia akibat serangan jantung.

Jenazah Hasan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Aliff, Johor Bahru, manakala Abd. Rashid pula di Tanah Perkuburan Kampung Parit Pak Intan, Parit Sikom di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI