fbpx

[VIDEO] Lelaki ‘bertelekung’ dicekup curi beg jemaah wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aksi suspek yang dirakam CCTV masjid sebelum berjaya ditahan polis.

SHAH ALAM – Perbuatan jahat seorang lelaki yang sanggup bertelekung untuk mencuri beg jemaah wanita di dua masjid di daerah ini tumpas apabila dicekup polis di sekitar Seksyen 18, hari ini.

Suspek berusia lingkungan 20-an diberkas kira-kira pukul 12.05 tengah malam selain merampas dua telefon bimbit dipercayai hasil kegiatan jenayahnya itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya terdahulu mengesan satu video tular yang memaparkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) seorang lelaki memasuki ruang solat wanita untuk melakukan mencuri barangan jemaah wanita.

Katanya, polis turut menerima dua laporan polis pada Selasa lalu mengenai kes kecurian barangan melibatkan kerugian keseluruhan kira-kira RM3,500.

“Kedua-dua kejadian berlaku di dua buah masjid berlainan sekitar Seksyen 18 dengan mangsa berusia 58 dan 60 tahun.

“Berdasarkan CCTV di dua lokasi kejadian mendapati suspek menggunakan taktik sama iaitu memakai telekung putih memasuki ruangan jemaah wanita sebelum mencuri barangan milik mangsa yang sedang solat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan lelaki itu di sekitar Seksyen 18 dan turut membawa kepada rampasan dua telefon bimbit yang dicuri ketika kejadian itu.

Mohd. Iqbal menjelaskan semakan mendapati suspek yang juga penganggur turut memiliki lima rekod jenayah lampau termasuk kes penyalahgunaan dadah.

“Lelaki itu direman selama empat hari  sehingga 26 Disember depan bagi membantu siasatan.

“Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI