PETALING JAYA – Biarpun terpaksa berbaring di atas katil, ia langsung tidak mematahkan semangat seorang pemuda untuk hadir bersama-sama menunaikan solat Jumaat.
Kehadiran pemuda itu kemudian mengundang rasa terharu Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim sewaktu membaca khutbah solat Jumaat hari ini.
“Semasa berada di atas mimbar untuk membaca khutbah Jumaat siang tadi, saya terpandang susuk tubuh ini yang berada di atas katil sedang mendengar isi khutbah saya.
“Allahu Akbar, amat terharu dan terkesan dengan adik ini yang datang jauh bersama ayahandanya untuk hadir Program Pengijazahan Katatib Al-Quran yang berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran Putrajaya,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut mendoakan kesejahteraan pemuda tersebut di dunia dan akhirat.
“Saya doakan beliau berjaya dunia dan akhirat serta dipermudahkan segala urusannya. Ya Allah rahmati dan berkati hidupnya,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna laman sosial turut mendoakan pemuda tersebut dan salah seorang daripadanya memaklumkan, difahamkan lelaki itu datang dari Sungai Petani, Kedah.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan saudaraku ini dan sembuh seperti sedia kala,” kata seorang netizen.
“Moga diberi kesembuhan buat adik ini,” ujar seorang lagi pengguna Facebook. – KOSMO! ONLINE