fbpx

Tarif purata asas penggunaan kemudahan gas dikurangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tarif purata asas penggunaan kemudahaan gas yang perlu dibayar oleh pengguna-pengguna gas dikurangkan bagi tempoh kawal selia kedua (RP2) bermula 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025.

Perkara tersebut dipersetujui (secara purata) oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Disember lalu, yang mana tarif baharu tersebut melibatkan empat kemudahan gas iaitu terminal penggasan semula milik Regas Terminal (Sg.Udang) Sdn. Bhd. (RGTSU), terminal penggasan semula milik Pengerang LNG (Two) Sdn. Bhd. (RGTP), talian paip penghantaran milik Petronas Gas Bhd. (PGB) dan talian paip pengagihan milik Gas Malaysia Distribution Sdn. Bhd. (GMD).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sehubungan itu, penetapan purata tarif kemudahan gas bagi tempoh RP2 dan pelarasan pendapatan serta purata tarif yang dibenarkan bagi tempoh tersebut adalah ditetapkan seperti berikut.

“Purata tarif asas bagi RGTSU kekal seperti mana tempoh RP1 pada kadar RM3.455/gigajoule (GJ)/hari. Tiada pelarasan pendapatan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023.

“Selain itu, purata tarif asas bagi RGTP turun sebanyak 9.2 peratus pada kadar RM3.165/GJ/hari berbanding RM3.485/GJ/hari dalam tempoh RP1. Tiada pelarasan pendapatan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023.

“Dalam masa sama, purata tarif asas bagi PGB juga turun sebanyak 5.8 peratus pada kadar RM1.063/GJ/hari berbanding RM1.129/GJ/hari bagi tempoh RP1. Purata tarif yang dibenarkan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023 adalah RM1.061/GJ/hari selepas pelarasan lebihan pendapatan sebanyak RM0.002/GJ/hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, purata tarif asas bagi GMD pula kekal seperti mana tempoh RP1 pada kadar RM1.573/GJ/hari dengan purata tarif dibenarkan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023 adalah RM1.535/GJ/hari selepas pelarasan lebihan pendapatan sebanyak RM0.038/GJ/hari.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, penurunan purata tarif kemudahan gas bagi tempoh RP2 ini dijangka akan memberi penjimatan dari segi kos tenaga kepada industri.

“Bergantung kepada jumlah isi padu penggunaan gas, penurunan purata tarif kemudahan gas ini diunjurkan akan diterjemahkan kepada penjimatan iaitu antara RM5.5 juta hingga RM33.2 juta bagi tahun 2023 untuk segmen penghantaran (mengikut kategori pengguna).

“Seterusnya segmen pengagihan (mengikut kategori pengguna sama ada kediaman, komersial atau industri), penjimatan di antara RM4,000 hingga RM55.9 juta bagi tahun 2023,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap penurunan tarif kemudahan gas ini akan membantu industri berhadapan dengan kenaikan kos mendadak dan seterusnya diterjemahkan sebagai satu lagi usaha mengawal kenaikan kos sara hidup untuk manfaat rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI