HULU SELANGOR- Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, diteruskan lagi pagi ini berikutan cuaca yang kelihatan cerah.
Anggota penyelamat dilihat memasuki lokasi kejadian sekitar pukul 8 pagi bersama dengan enam ekor anjing unit pengesan (K9) dari pelbagai agensi.
Operasi itu disambung setelah ditangguh pada malam tadi ekoran hujan berterusan bermula pukul 2.30 petang.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, mengesahkan jumlah sebenar mangsa yang terlibat adalah 92 orang dan bukannya 94 orang.
Jumlah itu sekaligus menjadikan hanya seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak lelaki yang masih belum ditemui sehingga hari kelapan operasi ini.
Sehingga kini, jumlah mangsa sah maut adalah 30 orang, manakala yang terselamat adalah 61 orang. – KOSMO! ONLINE