fbpx

[VIDEO] Sangkar ikan boleh musnah ‘dihentam’ perdu buluh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN sangkar ikan milik pengusaha yang musnah akibat dilanggar perdu buluh hanyut di Sungai Semantan, Temerloh baru-baru ini.

TEMERLOH – Ikan mati dan terlepas. Itu antara kebimbangan yang menghantui penternak ikan sangkar di Sungai Semantan dan Sungai Pahang di sini setiap kali musim hujan.

Bukan sahaja sampah kecil dan tanah boleh melekat diinsang menyebabkan ikan mati, tetapi sangkar diancam dengan kayu dan pokok hanyut yang boleh memusnahkannya dalam sekelip mata.

Setiausaha Persatuan Penternak Ikan Sangkar Sungai Semantan, Muhammad Fikri Abdul Rahman berkata, penternak ikan sangkar hidup kini berada dalam kebimbangan kerana berhadapan dengan kerugian setiap kali musim hujan pada penghujung tahun.

“Setiap kali musim hujan, sampah yang banyak dan lumpur menutupi insang ikan menyebabkan ada sahaja yang mati setiap hari.

“Malah ancaman yang boleh menyebabkan kerugian besar adalah pokok-pokok yang hanyut seperti perdu buluh yang boleh merosakkan sangkar dan menyebabkan ikan yang ada terlepas keluar.

“Baru-baru ini, satu perdu buluh besar yang hanyut telah me­rosakkan banyak sangkar ikan dan terdapat pokok di tebing yang tumbang ke atas sangkar penternak baru-baru ini,” kata­nya di sini semalam.

Menurutnya, pada masa ini, terdapat lebih 70 sangkar ikan di Sungai Semantan milik individu yang berdaftar dengan persatuan itu.

Bagaimanapun katanya, ba­nyak lagi sangkar individu yang tidak berdaftar.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya terdapat banyak pokok di tebing sungai itu yang berisiko untuk tumbang ekoran hakisan tebing.

Ujarnya, perkara itu telah diadukan kepada pihak berkaitan dan sehingga kini masih tiada apa-apa tindakan tuntas dilakukan.

“Apa lagi kami boleh buat selain bergotong-royong membersihkan pokok yang hanyut dan tersangkut.

“Kami berharap pihak berkaitan dapat membantu ke­rana masalah ini telah berlarutan dan banyak lagi pokok yang boleh memberi ancaman,” katanya.

Sementara itu seorang penternak ikan, Nazimi Mohamad Rozi,38, berkata, keadaan air pasang besar akibat hujan lebat dan kemudian surut telah menjejaskan kualiti air.

Ujarnya, keadaan ini menyebabkan banyak ikan terutama ikan-ikan kecil mati akibat fenomena tersebut sehingga membebankan penternak ikan sangkar.

“Hari-hari ada sahaja ikan mati.

“Jadi, kami tidak tahu hendak buat apa lagi kerana pelbagai ancaman yang dihadapi khususnya ketika musim hujan,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI