PETALING JAYA – “Fitnah? Okey kebenaran akan terbukti.”
Demikian reaksi pelakon Puteri Sarah Liyana terhadap tindakan saman suaminya, Syamsul Yusof terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atas dakwaan menularkan maklumat palsu dan fitnah.
Ibu kepada dua anak itu meluahkan kemusykilan terhadap tindakan suaminya yang secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi terbabit.
“Benda macam ini tiba-tiba muncul. Tiba-tiba nak saman. Untuk apa?,” katanya.
Pada masa sama Puteri Sarah, 37, berharap pengarah Munafik itu mengesahkan perkara yang boleh mencetuskan keraguan dalam kalangan keluarga mereka.
“Benda baik tu umumkan sebelum menimbulkan fitnah dan prasangka buruk daripada keluarga anda sendiri,” jelasnya.
Malah pemilik nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin turut menegaskan ini adalah masa terbaik untuk berterus terang mengenai gosip statusnya dengan wanita dikenali sebagai Ira Kazar.
“Jadi betullah gosip itu? Ok mengaku sajalah kan. Inilah masanya untuk anda mengaku segalanya,” tulisnya dalam satu lagi hantaran di Instagram Story.
Syamsul yang sebelum ini mengambil pendekatan mengunci mulut sebaik isterinya berkongsi desas-desus sudah dimadukan mula ‘bersuara’ menerusi laman sosialnya, malam tadi.
Sutradara berusia 38 tahun itu menyatakan mahu menyaman pihak Jawi berjumlah RM10 juta atas dakwaan menyebarkan kenyataan palsu bahawa dia telah berkahwin lagi.
Dipercayai dokumen tersebut mempunyai kaitan dengan kemelut rumahtangganya dan Puteri Sarah yang membabitkan orang ketiga.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dengan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 5, dan Summayah, 3 tahun.
Sebelum ini ibu Syamsul, Datin Fatimah Ismail memaklumkan perkahwinan anak sulung dengan menantunya itu mendapat restu seisi keluarga.
Manakala suaminya, Datuk Yusof Haslam pula enggan memberi komen berhubung gosip yang tular, sebaliknya menyerahkan kepada Syamsul sendiri mengeluarkan kenyataan berkenaan rumahtangganya.- KOSMO! ONLINE