PETALING JAYA – Pengendali tren Transit Aliran Ringan (LRT), Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih fasiliti di stesen-stesen rel kendaliannya.
Rapid Rail dalam satu kenyataan berkata, setakat 15 Disember lalu, proses penggantian 20 unit susur tangan dan tiga unit ‘stepchain’ di 10 stesen perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) telah disiapkan, dan eskalator di stesen-stesen berkenaan telah kembali beroperasi.
“Untuk langkah jangka panjang, Rapid Rail laksanakan penyelenggaraan berasaskan keadaan (CBM) di mana proses mengganti komponen yang dinilai akan rosak atau kerap bermasalah akan terus dilaksanakan tanpa menunggu jangka hayat tamat.
“Bagi kes kebocoran di 93 lokasi di stesen, kerja-kerja baik pulih di 21 lokasi di stesen LRT dan Monorel telah berjaya disiapkan dan bakinya akan diselesai secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2023,” katanya.
Bagi kerja-kerja baik pulih di stesen MRT katanya, perbincangan bersama pihak MRT Corporation (MRTC) selaku pemilik aset telah dijalankan.
“Proses pembaikan di 22 lokasi kebocoran telah dilakukan dan pemantauan keberkesanan kerja-kerja baik pulih tersebut sedang dilaksanakan.
“Namun terdapat lokasi kebocoran yang memerlukan lebih masa untuk diselesaikan kerana pembaikan tersebut melibatkan modifikasi kepada struktur atap,” katanya.
Selain itu katanya, sistem pencahayaan dan lif di stesen turut ditambah baik.
“Buat masa ini, peratus ketersediaan operasi fasiliti lif di stesen LRT dan MRT berada pada tahap 99 peratus.
“Mengenai isu lif di stesen-stesen monorel, menyedari keperluan pengguna terutamanya warga emas dan orang kelainan upaya, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil inisiatif menambah 18 unit lif dan 39 unit lif platform kerusi roda untuk keselesaan orang awam,” katanya.
Tambahnya lagi, projek naik taraf akan bermula pada suku pertama tahun 2023 dan memerlukan masa selama 18 bulan untuk disiapkan. – KOSMO! ONLINE