BEIJING – Seorang penyanyi wanita di China menerima kritikan di media sosial selepas mendedahkan bahawa dia sengaja menjangkiti dirinya dengan Covid-19, lapor laman berita Wion News semalam.
Pendedahan itu dibuat oleh Jane Zhang di tengah-tengah lonjakan besar kes koronavirus di China, didorong oleh varian Omicron BF.7.
Zhang mengaku bahawa dia sengaja menjangkiti diri selepas melihat rakan-rakannya disahkan positif Covid-19.
Menerusi laman sosial Weibo, Zhang berkata, dia telah melawat rumah ‘biri-biri’ iaitu istilah bagi pembawa virus di tanah besar China.
Penyanyi itu membuat langkah pelik untuk dijangkiti sebagai persediaan untuk konsert Malam Tahun Baharu akan datang.
Zhang mahu dijangkiti virus itu sebelum konsert tersebut supaya tiada gangguan dalam jadualnya.
“Saya bimbang keadaan saya semasa persembahan Malam Tahun Baharu akan terjejas, jadi saya bertemu sekumpulan orang yang telah diuji positif dan kini mempunyai masa untuk pulih daripada virus itu,” tulisnya.
Penyanyi berusia 38 tahun itu menambah, dia kemudian tidur selepas sedar mengalami beberapa simptom seperti demam, sakit tekak dan sakit badan.
Zhang menjelaskan bahawa simptomnya serupa dengan pesakit Covid tetapi hanya bertahan selama sehari.
“Selepas tidur sehari dan semalaman, semua simptom saya hilang. Saya hanya minum banyak air dan mengambil vitamin C, tanpa mengambil sebarang ubat sebelum sembuh,” tambahnya.
Rata-rata netizen mengkritik tindakan Zhang yang tidak sensitif dan tidak bertanggungjawab, terutamanya terhadap masa depan China untuk menghadapi lonjakan Covid-19.
Selepas menghadapi kecaman netizen, Zhang memadamkan hantaran itu dan meminta maaf kepada orang ramai. – Agensi