PUTRAJAYA – Kerajaan akan mewujudkan satu mekanisme pemberian subsidi bersasar yang lebih menyeluruh dalam masa terdekat bagi memastikan tiada individu layak yang tercicir.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perkara itu bagaimanapun belum dibincangkan secara terperinci namun beliau akan melihat kepada pembangunan mekanisme tersebut dilaksanakan secepat mungkin.
“Yang menjadi persoalan apakah sistem yang boleh diguna pakai untuk menentukan individu mana yang layak mendapat subsidi dan sebaliknya.
“Itu cabaran kerajaan sekarang untuk memastikan mekanisme yang terhasil itu adil dan tidak ada yang tercicir selain dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar Penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) November 2022 di sini hari ini.
Rafizi berkata, pelaksanaan subsidi bersasar itu kelak sudah pasti akan mengambil kira kesannya kepada rakyat, walaupun kemungkinan besar akan berlaku kenaikan inflasi.
“Soal sama ada inflasi ke tidak, sudah tentu keputusan dibuat, dari segi sokongan yang mana akan dipotong, sudah tentu menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan agar kerajaan mengambil kira kesan kepada inflasi dan rakyat,” katanya
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu sidang akhbar menegaskan mahu pemberian subsidi dilaksanakan secara bersasar supaya bantuan disalurkan kepada golongan yang betul-betul memerlukan.
Beliau pada masa sama turut memberikan tempoh dua minggu untuk kementerian- kementerian berkaitan menyiapkan kertas kerja berhubung pelbagai isu berkaitan subsidi untuk rakyat.- KOSMO! ONLINE