AMPANG – Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba menipu rakan penyanyi rock Datuk Awie berhubung penganjuran satu konsert palsu Oktober lalu.
Bagaimanapun tertuduh Norhayati Maslinda Chew Asmawie Chew, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Normaizan Rahim.
Mengikut pertuduhan tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa telah mencuba memperdaya penganjur acara Murbarak Akhtar Mohd. Aris, 52, dengan mendorong untuk membeli tiket “Konsert Unplugged Living Legend” yang tidak wujud untuk menyerahkan wang bagi dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Bukit Mulia Mulia, Bukit Antarabangsa di sini pukul 10.30 malam pada 24 Oktober lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 kanun keseksaan dan dibaca bersama seksyen 511 kanun yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya seorang ibu tunggal yang menyara empat orang anak.
“Suami tertuduh telah meninggal dunia awal tahun lalu selain tertuduh turut mempunyai penyakit slip disc (sakit tulang belakang),” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Normaizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 21 Februari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 53, yang turut hadir di mahkamah ketika ditemui berkata, beliau menyeru mana-mana individu yang pernah berurusan dengan wanita itu supaya tampil membuat laporan polis.
“Kepada mereka yang telah tertipu dengan konsert ini kalau boleh hadir buat lapor kerugian-kerugian yang telah kena. Saya tidak mahu berlaku lagi selepas ini perkara-perkara penipuan konsert,” kata Awie.
Kosmo! 29 Oktober lalu melaporkan Awie mendedahkan penipuan seorang wanita mempergunakan nama dan gambarnya bersama beberapa artis lain dengan menjual tiket konsert yang tidak wujud.
Katanya, cubaan mengaut keuntungan bagi persembahan yang kononnya akan diadakan di Sabah bertarikh 4 Februari 2023 itu dapat dipatahkan sebaik polis menahan individu tersebut .
Wanita yang tinggal di Klang, Selangor itu mengaku ada (buat) konsert Unplugged Living Legend (Datuk Awie dan Ahmad Dhani) bersama artis undangan Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira.
Menurut penyanyi lagu Diambang Wati itu maklumat dalam poster konsert palsu menyatakan harga tiket dijual antara RM199 sehingga RM649.
Menerusi hantaran sama, vokalis Wings itu turut memuat naik beberapa paparan tangkap layar mesej antara wanita berkenaan dengan mangsanya.
Pada masa sama, Awie berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan dakwaan berhubung mana-mana penganjuran konsert selagi tiada bukti nyata. – KOSMO! ONLINE