KUALA LUMPUR – Dua pegawai kanan Aker Engineering Malaysia dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan masing-masing di bawah Akta Syarikat dan menggunakan dokumen palsu.
Timbalan Presiden Kanan Kumpulan Aker Engineering Malaysia, Ahmad Hatta Kamaruzzaman, 50, bebas daripada pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu yang terkandung dalam dokumen syarikat.
Sementara itu, Pengarah Aker Engineering Malaysia Sdn. Bhd., Mohd. Yusof Ab. Rahman, 55, pula bebas daripada pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi pembaharuan lesen daripada sebuah syarikat minyak dan gas pada 2018.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan kedua-duanya selepas membenarkan permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan.
Mahkamah berpuas hati pertuduhan di bawah Seksen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 yang dikenakan terhadap Ahmad Hatta, tidak berasas.
Hakim berkenaan berkata, pertuduhan itu antara lain menyatakan tertuduh mengelirukan Pendaftar Syarikat melalui pernyataan palsu.
Bagaimana, Hakim Muhammad Jamil berpendapat, pihak yang membuat atau mengesahkan pernyataan itu tidak dinyatakan dalam pertuduhan.
“Pemohon dituduh melakukan kesalahan yang tidak diperuntukkan di bawah undang-undang,” ujar hakim tersebut.
Sementara itu, mahkamah turut mendapati pertuduhan terhadap Mohd. Yusof di bawah Sesyen 471 Kanun Keseksaan, cacat dan tidak berasas.
Ujarnya, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu melalui kakitangan Aker Engineering, Wan Suet Yin.
Hakim itu menyatakan, seksyen itu bagaimanapun tidak memperuntukkan bahawa kesalahan itu boleh dilakukan melalui orang lain.
“Seksyen 471 hanya memperuntukan kesalahan dilakukan oleh tertuduh sendiri. Kesalahan yang dilakukan melalui orang lain tidak diperuntukkan di bawah undang-undang,” ujar Hakim Muhammad Jamil.
Dalam keputusannya, hakim berkenaan bagaimanapun menolak alasan kedua-dua pemohon bahawa pendakwaan terhadap mereka dilakukan atas niat jahat (mala fide).
Beliau berpendapat, alasan itu tidak mempunyai merit kerana mereka gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa pendakwaan itu berniat jahat.
Ujarnya, pihak pendakwaan mempunyai kuasa budi bicara untuk mendakwa Mohd. Yusof dan Ahmad Hatta berlandaskan undang-undang.
Selepas prosiding di Mahkamah Tinggi selesai, pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan kepada dua hakim Mahkamah Sesyen, yang mendengar perbicaraan kes Ahmad Hatta dan Mohd Yusof berhubung keputusan hari ini.
Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob yang merekodkan perintah Mahkamah Tinggi, turut memerintahkan wang jaminan RM10,000 setiap seorang dikembalikan.
Pada 16 November lalu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili pemohon-pemohon manakala Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How mewakili pihak pendakwaan. – KOSMO! ONLINE