KUALA TERENGGANU – Kementerian Pertahanan bersedia untuk menambah aset di kem tentera di Pantai Timur khususnya Terengganu dan Kelantan yang sering terjejas banjir saban tahun.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penempatan aset tersebut khususnya trak tujuh tan dan bot bertujuan melicinkan lagi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir negeri berkenaan.
“Itu boleh diberi pertimbangan kerana negeri-negeri Pantai Timur ini memang terkesan banjir setiap tahun. Kekuatan anggota dan aset perlu ditambah.
“Begitu buat masa ini, kita merasakan mobilisasi aset dan anggota (dari negeri-negeri lain) tiada masalah dan tidak memakan masa,” katanya.
Terdahulu beliau ditemui selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Manir di sini hari ini.
Mohamad memberitahu, setakat ini, anggota dan aset dari Markas 4 Briged di Kuantan, Pahang telah dikerahkan untuk menampung keperluan operasi banjir di Terengganu.
Jelas beliau, ia disebabkan situasi banjir di Pahang pada masa ini tidak kritikal berbanding Terengganu dan Kelantan. – KOSMO! ONLINE