LISBON – Georgina Rodriguez yang merupakan teman wanita Cristiano Ronaldo, akhirnya bercerita tentang tahun paling sukar dalam hidup bintang bola sepak Portugal berkenaan, lapor portal berita The Sun.
Dalam apa yang sepatutnya menjadi saat paling gembira pada tahun 2022, ia sebaliknya menjadi detik paling sedih selepas dia kehilangan anak lelakinya secara tragis.
Pada April lalu, model berusia 28 tahun itu menjangkakan akan mendapat bayi kembar lelaki dan perempuan bersama Ronaldo, 37, tetapi salah seorang daripada anak mereka meninggal dunia semasa lahir.
Bayi perempuan pasangan itu, Bella Esmeralda masih hidup tetapi jatuh sakit tiga bulan selepas kematian kembarnya dan terpaksa dimasukkan ke sebuah hospital menyebabkan rumah tangga Ronaldo mengalami lebih banyak tekanan.
Muncul dalam edisi Januari Elle Spain, Rodriguez berkata: “Tahun ini adalah yang paling rumit dalam hidup saya, saat paling gembira menjadi yang paling menyedihkan.
“Ia adalah sesuatu yang akan menemani saya sepanjang hayat dan tidak akan dapat kami lupakan.”
Portugal terkandas dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia di Qatar apabila tewas kepada Maghribi 1-0 dengan Ronaldo hanya bermain pada separuh masa kedua. – Agensi