MELAKA – Dua buah hotel terkemuka, JW Marriott dan Sheraton akan beroperasi di negeri ini pada tahun depan.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pembukaan itu dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong kelas premium datang bercuti ke Melaka.
“Beberapa syarikat perhotelan lima bintang seperti Hotel JW Marriott dan Sheraton telah bersedia untuk beroperasi dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.
“Kita menunggu ketibaan pelancong berkelas premium seperti dari China, Dubai atau negara-negara Arab lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra dan Minum Petang Bersama Penggiat Industri Korporat, Perhotelan dan Media Melaka di sini, hari ini.
Jelasnya, ketika ini Melaka banyak menerima kehadiran pelancong peringkat pertengahan.
“Kita banyak menerima kehadiran ramai pelancong berskala sederhana dan di peringkat pertengahan, jadi jika (hotel) dapat tarik pelancong berkelas premium, ia akan menjadi satu daya tarikan baharu di Melaka.
“Pengoperasian hotel-hotel terkemuka itu juga dijangka menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan negeri,” katanya.
Sementara itu, mengulas berkenaan usaha pengiklanan perhotelan secara berkesan, Ab. Rauf menyarankan penggiat industri pelancongan memanfaatkan bot Melaka River Cruise yang dikendalikan PPSPM untuk tujuan tersebut.
Katanya, bot-bot tersebut mempunyai nilai komersial yang tinggi berikutan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelancong saban tahun.