fbpx

Hujung tahun dapat bonus, jangan lupa zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARID AHMAD TARMIJI, WARTAWAN EKSEKUTIF.

MENJADI satu kebiasaan apabila menjelang hujung tahun kebanyakan pekerja pasti menerima bonus atau sagu hati daripada majikan masing-masing.

Bagi mereka yang melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau instrumen pelaburan yang lain pasti tidak sabar menantikan agihan dividen yang akan diberikan.

Dalam kegembiraan kita menikmati lebihan pendapatan tersebut jangan dilupakan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Sebagai umat Islam kita juga diwajibkan untuk mengeluarkan zakat bagi tujuan tersebut.

Memetik bicara khutbah Jumaat baru-baru ini bertajuk Zakat Diperkasa Asnaf Terbela, khatib menjelaskan, zakat ialah rukun Islam ketiga dan wajib ditunaikan ke atas beberapa jenis harta yang ditetapkan setelah memenuhi syarat dan diagihkan kepada golongan tertentu.

Menurutnya, ibadah zakat seperti zakat fitrah, zakat harta dan zakat pendapatan bukan sahaja salah satu bentuk penyucian jiwa dan harta bahkan ia berupaya memupuk semangat persaudaraan dan kasih sayang antara golongan kaya dan miskin.

“Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang besar bagi sesiapa yang mengeluarkan zakat sebagaimana firmanNya dalam surah al-Rum ayat 39 yang bermaksud,” katanya.

Tambah khatib, Dr. Yusuf al-Qaradawi Rahimahullah juga menyatakan salah satu tujuan zakat adalah untuk membebaskan penerima zakat atau asnaf daripada kekangan untuk mendapatkan keperluan, agar mereka dapat hidup dalam keadaan yang sejahtera.

Malah zakat juga mempunyai matlamat sosial untuk melatih golongan kaya supaya berkorban dan menyumbang untuk kebajikan orang lain khususnya golo­ngan yang memerlukan.

Namun sangat menyedihkan apabila laporan menyatakan ­kesedaran membayar zakat di Selangor masih rendah apabila lebih 600,000 individu dan syarikat yang layak masih belum menunaikan tanggungjawab tersebut di Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menurut LZS, setakat ini hanya 335,000 individu termasuk syarikat yang sudah menjadi pembayar zakat berdaftar de­ngan badan.

Pensyarah di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pe­ngajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad berkata, zakat adalah satu kewajipan yang ditentukan dan ia arahan dari Allah dan RasulNya.

“Jadi, membayar zakat adalah termasuk dalam satu bentuk ibadah wajib. Cuma kewajipan itu hanya kepada orang yang layak sahaja untuk membayarnya, iaitu orang yang ada lebihan harta atau orang yang cukup nisab (kadar hartanya) untuk satu tempoh setahun,” jelasnya.

Tambahnya, jadi zakat tidak diwajibkan kepada orang miskin, fakir, mereka yang terputus bekalan dan orang yang ada ­kesempitan harta.

Konsep zakat adalah ‘membantu’ orang lain yang memerlukan atau dalam kesusahan, oleh sebab itu, perintah zakat berada bersama dengan perintah mendirikan solat.

“Tujuannya untuk memastikan umat Islam sentiasa mempunyai rasa dan semangat membantu insan lain apabila ada rezeki yang lebih yang membuatkan dia layak mengeluarkan zakat.

“Oleh itu, tidak dapat tidak kita perlu taat kepada tuntutan dan perintah, kerana di sana ada hak orang lain,” katanya.

Tambahnya, tuntutan membayar zakat tersebut juga kebaikannya adalah untuk menambahkan lagi barakah dalam harta kita daripada Allah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI