fbpx

Harap pengurangan cukai taksiran, untuk jangka masa panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Penduduk di Putrajaya berharap pengurangan cukai taksiran seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, dapat dikekalkan untuk jangka masa lebih panjang demi kelangsungan hidup penduduk.

Senator Dewan Negara, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, dalam masa sama, pengurangan itu juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan yang mendengar keluh-kesah rakyat terutamanya golongan M40 dan B40 di Putrajaya kerana kutipan terdahulu sememangnya lebih tinggi berbanding kawasan-kawasan lain.

“Warga Putrajaya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung keputusan kerajaan mengurangkan cukai taksiran sebanyak 30 peratus daripada jumlah yang dikenakan.

“Sehubungan itu, seramai 8,500 pembeli unit kediaman PP1M dan PR1MA yang berharga RM300,000 ke bawah boleh menarik nafas lega kerana pengurangan ini dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung warga Putrajaya terutamanya penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kenaikan kos sara hidup yang tinggi menekan kehidupan mereka dan diskaun sebegini sudah pasti di tunggu-tunggu memandangkan krisis ekonomi di seluruh dunia pada tahun 2023 lebih mencabar.

“Ternyata Perdana Menteri tidak menunggu lama untuk membuat sesuatu keputusan yang memihak kepada penjawat awam termasuk pesara yang terbeban dengan kadar cukai taksiran yang tinggi.

“Saya yakin ‘hadiah’ ini akan meningkatkan lagi semangat penjawat awam dan penduduk Putrajaya yang terkesan peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Ujarnya lagi, bagaimanapun diharap pengurangan kutipan cukai ini tidak akan menjejaskan operasi dan kualiti perkhidmatan pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) kepada warganya.

Semalam, Kosmo! melaporkan, kerajaan bersetuju mengurangkan 30 peratus cukai taksiran bagi kediaman berharga RM300,000 ke bawah di sekitar Putrajaya.

Anwar dipetik berkata, pengurangan cukai taksiran akan mula berkuat kuasa 1 Januari depan sehingga penilaian semula dilaksanakan oleh PPj. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI