fbpx

Damak king lagi laku berbanding musang king

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAMAK King yang berbau wangi mengujakan penggemar raja buah di Kampung Damak, Jerantut, Pahang.

JERANTUT – Durian jenis damak king, Kampung Damak terus mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar raja buah itu sekali gus mendominasi pasaran di Jerantut pada musim ini.

Rasa isi damak king yang lebih sedap dengan aromanya yang mengujakan antara faktor raja buah itu berjaya menambat hati pelanggan sehingga mengatasi jualan durian musang king dan durian premium kampung jenis lain di kampung tersebut pada musim ini.

Durian itu mendapat permintaan ramai penggemar kerana baka durian premium kampung yang sudah dikenali seperti mas hijau, kulit buaya, naga emas dan Aji Aziz kurang berbuah di Lembah Durian, Kampung Damak dekat sini.

Peniaga durian, Ahmad Mustapha, 44, berkata, sejak buah itu gugur dan dipasarkan di gerai jualan berdekatan Jalan Jerantut – Benta di kampung tersebut, damak king laris setiap hari dan kebanyakan penggemar sudah membuat tempahan awal.

“Tetapi, jualannya agak terhad kerana damak king cuma berbuah di dusun milik seorang pekebun di sini, dan difahamkan cuma sepokok sahaja berbuah antara 200 hingga 300 biji pada musim ini,” katanya di Kampung Damak dekat sini semalam.

Ahmad menjelaskan faktor cuaca penyebab durian damak king, mas hijau, kulit buaya, naga emas dan Aji Aziz kurang berbuah.

Menyingkap sejarah damak king, Ahmad berkata, durian berkenaan berasal daripada baka tok merah yang ditanam seorang penduduk di situ dan kemudiannya memperoleh baka baharu (damak king) menerusi cantuman tunas, dan ditanam empat orang pekebun durian di kampung tersebut sejak 40 tahun lalu.

“Peringkat awal percubaan, pekebun di sini cuma menanam antara tiga hingga lima benih damak king dan hanya dua pokok sahaja yang membesar dan berbuah lebat.

“Apabila berbuah dan gugur, pekebun di sini bersepakat menjenamakan durian damak king kerana hasil (buahnya) cukup menarik perhatian penggemar durian,” katanya.

ISI damak king yang lembut menjadi buruan penggemarnya.

Ahmad berkata, spesifikasi bentuk buahnya bulat, mempunyai empat hingga lima pangsa, tekstur isinya yang lembut, tebal dan berwarna oren, bijinya separa kecil, kulit tebal dan hijau keperangan.

“Rasanya lemak manis, sedikit pahit dan aromanya menusuk ke hidung apabila mula dibelah sekali gus menarik selera penggemar yang pertama kali ingin menikmati isi buah ini,” katanya.

Cerita lanjut, Ahmad berkata, pada musim ini, damak king tidak dapat dibawa ke pasaran luar kerana buahnya terhad dan habis dibeli oleh kalangan penggemar di kampung tersebut dan selebihnya menerusi tempahan.

“Kita memperoleh damak king cuma daripada seorang pekebun sahaja di sini antara 20 hingga 30 biji sehari dan menjual dengan harga antara RM25 hingga RM35 sekilogram berasaskan permintaan harian.

“Menariknya, durian damak king diminati bukan sahaja penggemar dalam kalangan orang Melayu, tetapi pelbagai kaum, iaitu Cina, India malahan orang Inggeris dari Lembah Kelang juga datang ke sini mencari serta berbelanja buah ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI