PASIR PUTEH – Kutipan sampah di tong-tong yang disediakan di daerah ini meningkat dua kali ganda kepada 80 tan sehari selepas kebanyakan kawasan di sini terjejas dan dinaiki air banjir sejak Ahad lalu.
Ketua Unit Perlesenan dan Kesihatan Persekitaran, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Mohd. Haqqul Mubin Othman berkata, sebelum banjir, MDPP mengutip sampah sebanyak 35 hingga 38 tan sehari sebelum meningkat sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, peningkatan itu berlaku apabila banyak sisa buangan yang melibatkan kotak dan perabot yang rosak akibat ditenggelami air bah baru-baru ini.
“Keadaan itu menyebabkan petugas MDPP bertugas lebih masa dan menambah jadual pungutan sampah bagi memastikan longgokan bahan terbuang di tong yang disediakan melimpah.
“Petugas MDPP dan pemilik premis perniagaan di bandar lama Pasir Puteh juga telah bergotong-royong untuk memungut sampah dari pintu ke pintu bagi mengelakkan longgokan sisa buangan di tepi jalan raya,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Haqqul Mubin, MDPP turut menyediakan jentera seperti lori, mesin pengorek, pam penyembur air laju dan lori pemampat sampah (kompektor) bagi membantu pemilik premis membersihkan kedai mereka.
Beliau menyarankan, orang ramai yang ingin membuang sampah di lokasi yang disediakan agar memasukkan bahan buangan ke dalam karung plastik hitam yang diikat bagi mengelakkan sampah berterabur.
“Bagi sampah besar seperti perabot, dahan kayu dan peralatan elektrik boleh dibuang di dalam tong sampah pukal (Roro) yang berdekatan.
“Selain itu, sikap membuang sampah di luar tong atau di kawasan yang tidak sepatutnya tidak menjadi amalan berterusan penduduk terutamanya semasa musim banjir. – KOSMO! ONLINE