KEHADIRAN wabak maut tidak diundang yang membadai dunia sekitar dua tahun lalu benar-benar meninggalkan impak tersendiri.
Paling menyedihkan, banyak nyawa tidak berdosa terkorban dek kerana penyakit berjangkit yang masih tiada berkesudahan itu.
Menyedari peri penting untuk setiap individu mendapatkan tahap imunisasi maksimum bagi mengelak daripada menjadi mangsa wabak tersebut, wanita berusia 34 tahun ini memberanikan diri dengan mengeluarkan suplemen kesihatan sendiri.
Menurut pemilik nama penuh Erna Eliiyana Rosli, syarikatnya, Kamya Glow ditubuhkan pada tahun lalu semasa dia dan dua rakan bisnesnya duduk bersama dan berfikir apakah produk paling sesuai dikeluarkan ketika pandemik melanda.
“Kami memikirkan produk apa yang dapat menyelesaikan masalah seseorang terutama membantu mereka dalam meningkatkan tahap kesihatan dan imunisasi badan.
“Melihat kepada pelbagai kes kematian yang disebabkan wabak Covid-19, jadi kami sepakat untuk keluarkan satu produk khas yang tinggi dengan vitamin C,” katanya membuka bicara bersama Aura.
Bercerita mengenai penglibatannya dalam bisnes pada usia muda, anak bongsu daripada enam beradik yang turut bergelar isteri serta ibu itu memberitahu, Kamya Glow bukanlah bisnes pertama yang diusahakannya.
Katanya, sebelum ini dia pernah terlibat dengan bisnes berkaitan secretary accounting (kesetiausahaan perakaunan) rentetan latar belakang pendidikannya yang juga dalam bidang pengurusan perniagaan (insurans).
“Bertahun menjalankan perniagaan tersebut, tiba-tiba tercetusnya idea untuk memperkenalkan Kamya Glow saat dunia dan negara dibadai pandemik.
“Kalau ikutkan, Kamya berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu membawa maksud harapan. Saya percaya apa yang menggerakkan kita semua adalah harapan.
“Harapan ini pula sama dengan matlamat.
“Apa sahaja yang kita lakukan dalam hidup ini mesti ada matlamat. Jadi, Kamya Glow adalah sebuah harapan untuk semua menjadi glow (bersinar),” ujarnya.
Bercakap dari aspek kepimpinan, anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini menyifatkan, dia langsung tidak meletakkan dirinya sebagai seorang usahawan, tetapi lebih kepada pemimpin.
Katanya, apabila menjadi seorang ketua, sudah tentu dia mahu menjadi seorang pemimpin yang baik dan diikuti ramai.
“Jadi, cara yang saya lakukan ialah saya akan praktikkan terlebih dahulu sebelum mendisiplinkan orang lain.
“Daripada situ, saya melihat dan yakin, secara tidak langsung dapat memberi pengaruh positif kepada orang lain sekali gus niat memberi manfaat kepada ramai orang tercapai,” tuturnya.
Menerangkan lanjut mengenai produk perniagaannya itu Erna berkata, Kamya Glow tidak hanya memfokuskan kepada vitamin C, tetapi rumusan bahannya dapat membantu kulit menjadi lebih sihat dan kuat.
Justeru ujar Erna, produknya bukan sahaja untuk kesihatan, tetapi membantu untuk ramai pengguna terutama para wanita kekal cantik dan bertenaga.
Ditanya siapa sumber inspirasi dalam perniagaan yang penuh dengan cabaran, Erna yang juga pengarah di beberapa buah syarikat ternama negara mengakui, sumber kekuatan pertamanya ialah Allah SWT.
Kata Erna, apa sahaja yang dilakukannya, Allah adalah yang pertama tempatnya meminta dan berserah, barulah disusuli oleh keluarga serta pasukannya dalam perniagaan.
“Alhamdulillah, masa awal-awal jalankan bisnes kami hanya ada lima orang staf sahaja, tetapi hari ini sudah ada lebih 30 orang pekerja.
“Saya percaya, produk kami mampu berdiri setanding dengan ribuan produk lain di luar sana selain memastikan jenama ini tidak hanya dikenali di Malaysia, tetapi pasaran negara Asia lain terutama Singapura, Brunei dan Indonesia,” katanya.