KUALA LUMPUR – Seramai 690 individu ditahan dipercayai terbabit kegiatan judi bola sepak sepanjang kejohanan Piala Dunia Qatar menerusi 530 serbuan Op Soga IX di seluruh negara sejak 19 November sehingga 21 Disember.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, sebanyak 539 kertas siasatan telah dibuka dan dari jumlah tersebut, sebanyak 328 kertas siasatan masih dalam tindakan.
Katanya, 202 kertas siasatan berjaya dituduh manakala sebanyak 87 lagi telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
“Kesemua tangkapan merupakan bookie atau ‘punter’ dan suspek telah direman untuk siasatan lanjut.
“Susulan serbuan dibuat, tangkapan suspek tertinggi adalah di negeri Selangor (179), diikuti Kuala Lumpur (142), Johor (59), Negeri Sembilan (57) dan Sarawak (54).
“Kami turut merampas pelbagai peralatan termasuk kredit di dalam perisian bernilai RM22,353,866.27 juta, wang tunai RM518,563, dolar Hong Kong 382,295.6 dan dolar Singapura 500,” jelasnya.
Dalam pada itu, polis juga turut merampas 74 unit komputer, 47 unit komputer riba , empat tablet, 817 telefon bimbit, 24 penghala (router), tiga mesin kira-kira, 28 modem, lapan mesin pencetak, 386 kad sim, 120 helai catitan disyaki pertaruhan dan 27 keping jadual perlawanan.
“Siasatan dijalankan di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan, berlandaskan undang-undang sedia ada dalam usaha menangani aktiviti perjudian.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian, boleh salurkan maklumat tersebut melalui Hotline Whatsapp Op Soga IX di talian 016-5773477,” ujarnya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE.