NEW DELHI – Sepasukan doktor di India terkejut apabila menemui 382 butir batu karang di dalam pundi hempedu seorang wanita selepas pesakit mengadu mengalami sakit belakang selama berbulan-bulan, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Pesakit itu bernama Yashoda Bai dari bandar Vijayraghavgarh, negeri Madhya Pradesh. Dia menyedari ada sesuatu tidak kena dengan dirinya selepas mengalami sakit belakang yang berpanjangan, lapor agensi berita Jam Press.
Yashoda turut mengalami sakit dada, namun tidak mengetahui puncanya.
Tanpa dia menyedari, pundi hempedunya dipenuhi dengan batu menyerupai kerikil.
Ahli keluarga Yashoda membawanya ke hospital bagi mengetahui punca kesakitan yang dialami wanita berkenaan.
Imbasan sonografi mendedahkan bahawa Yashoda mempunyai 382 butir batu di dalam pundi hempedunya dengan ada yang bersaiz hingga 1 sentimeter.
Dinamakan batu karang, ia merupakan mendapan cecair pencernaan yang mengeras dan terbentuk dalam pundi hempedu seseorang, demikian menurut Mayo Clinic.
Ia biasanya berlaku apabila paras kolesterol hempedu menjadi terlalu tinggi dan kolesterol berlebihan membentuk mendapan keras. Ia juga mempunyai berbilang saiz, daripada yang lebih kecil berbanding butiran pasir hingga sebesar bola golf.
Doktor berjaya mengeluarkan batu karang tersebut satu demi satu dari pundi hempedu Yashoda dalam satu pembedahan selama dua jam.
Dia kini dilaporkan semakin sihat. – Agensi