BALIK PULAU – Polis Barat Daya menahan tujuh individu termasuk seorang warga emas selepas dipercayai menjadi keldai akaun oleh sindiket penipuan dalam beberapa siri serbuan di beberapa negeri antara Selasa sehingga semalam.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 61 tahun itu ditahan di sekitar Perak, Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan kes-kes yang dilaporkan pada 2019, 2021 dan 2022.
Empat suspek lelaki dan seorang wanita disyaki menjadi keldai akaun sindiket membabitkan penipuan tawaran kerja sambilan serta pinjaman wang tidak wujud dalam talian.
Selain itu, tangkapan turut melibatkan seorang lelaki bersama dua wanita termasuk warga emas dipercayai menjadi keldai akaun sindiket dalam urusan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan serta penyamaran sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.
“Jumlah kerugian yang dialami mangsa ialah antara RM1,330 sehingga RM19,200. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, kenyataan tersebut turut memaklumkan kejayaan menumpaskan sindiket memproses dan menjual air ketum selepas menahan 11 lelaki berusia 22 hingga 40 tahun dalam serbuan berasingan di sekitar Batu Maung, Bayan Lepas, semalam.
Sindiket itu dipercayai memproses air ketum di sebuah rumah di situ sebelum mereka menjualnya kepada pembeli terutama pelanggan tetap dengan harga RM5 setiap bungkus.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 70 bungkus plastik lutsinar berisi air ketum dan pelbagai peralatan untuk memproses air tersebut.
“Sindiket tersebut dipercayai mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE