fbpx

Tanah runtuh: Empat mangsa ditemui dalam satu khemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail bercakap pada sidang akhbar mengenai perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang memasuki hari ketujuh di lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm (FoF), Batang Kali, di sini, hari ini. GAMBAR FARIZ RUSADIO

HULU SELANGOR- Empat mangsa yang dijumpai hari ini, dalam tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan, di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, ditemui berada dalam satu khemah yang sama.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata pihaknya tidak dapat memastikan lagi sama ada mereka merupakan sebuah keluarga atau tidak.

“Empat mayat tersebut terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki, dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Mereka dijumpai sedalam tujuh meter di Sektor C (Riverside) dan berada dalam satu bungkusan khemah yang sama, sekitar pukul 10.39 pagi tadi.

“Keadaan anggota badan masih sempurna dan berpakaian tetapi sudah mula mereput. Identiti mereka tidak dapat dikenal pasti dan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.

Suffian turut berharap dengan perkembangan positif ini, baki tiga lagi mangsa dapat ditemui bergantung atas faktor cuaca, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah bermula sejak pukul 9 pagi dengan kekuatan anggota seramai 128 orang.

Jelasnya, 11 eskavator dan tujuh ekor unit anjing pengesan (K9) dari Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Tentera Malaysia, turut di pergiatkan bagi membantu melancarkan operasi.

“Sebelum penemuan empat mayat tersebut, kami menjumpai tanda-tanda dan petunjuk kawasan perkhemahan seperti peralatan dan barang-barang peribadi.

“Hasil korekan eskavator dan unit K9, kami berjaya menjumpai mayat-mayat tersebut,” katanya.

Tambahnya, operasi SAR akan dipergiatkan lagi di Sektor A, Sektor C dan di kawasan-kawasan aliran sungai untuk mencari baki tiga mangsa lagi yang masih hilang.

Penemuan itu menjadikan mangsa korban mencecah seramai 30 orang daripada keseluruhan mangsa yang terlibat adalah 94 orang pada hari ketujuh operasi SAR. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI