HULU SELANGOR- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dipergiatkan lagi di kawasan laluan sungai berdekatan dengan lokasi tanah runtuh Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands di sini.
Difahamkan, seramai 32 anggota termasuk pegawai merupakan pasukan sweeper (pencarian) yang mula bergerak pada pukul 10.40 pagi tadi.
Petugas SAR yang terlibat diberi taklimat oleh Pegawai Memerintah 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Bentong, Leftenan Kolonel Md Rafizin Kamarudin.
Mereka yang terlibat adalah seramai 20 anggota serta pegawai daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala 12 anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA).
Operasi sweeping tersebut dimulai dari Sungai Kedondong ke Sungai Batang Kali yang jaraknya 4 kilometer.
Namun begitu, jaraknya dijangka lebih jauh apabila menggunakan laluan darat mengikut aliran sungai. – KOSMO! ONLINE