REMBAU – Seorang pelajar universiti maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori di lorong kecemasan kilometer 242.2, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah Utara), di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, mangsa, Muhammad Izhar Tabri, 22, yang merupakan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub, Pahang disahkan maut oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha Fz150i yang ditunggangi mangsa dan lori jenis Isuzu yang membawa muatan siling kapur seberat satu tan.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dalam perjalanan dari Ayer Keroh menghala ke Senawang di lorong kecemasan. Sebaik sampai di tempat kejadian kenderaan mangsa telah hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori yang berhenti akibat mengalami kerosakan enjin di lorong kecemasan tersebut.
“Akibat daripada kemalangan ini, penunggang motosikal yang beralamat di Subang Jaya, Selangor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, rahang dan patah kedua-dua belah tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Hazri lagi, pemandu lori berkenaan iaitu lelaki berusia 38 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, mayat mangsa telah di hantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat esok.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE