PETALING JAYA – Selebriti terkenal Neelofa sekali lagi didakwa sedang hamil anak kedua semasa melakukan sebuah penggambaran bersama suami, PU Riz.
Spekulasi tersebut tercetus daripada sebuah video yang dimuat naik oleh peminatnya dalam aplikasi TikTok sehingga menjadi bahan bualan segelintir netizen.
Video tersebut menyaksikan, Neelofa menggayakan gaun labuh yang diikat belakang sambil menyapu sampah di kawasan laman kediaman mereka.
Bahkan, ramai juga menyatakan keadaan fizikal bekas pengacara MeleTOP itu sedikit berisi berbanding sebelum ini.
“Berisi lain macam. Alhamdulillah Bilal nak jadi abang,” seloroh peminat.
“Biasanya kalau ikat dres belakang tu ada bayi,” kata netizen.
“Kalau Neelofa berbadan dua, alhamdulillah. Semoga dipermudahkan segala urusannya,” ujar peminat.
Disebabkan video tular tersebut, netizen turut mempersoalkan cara duduk isteri kepada Haris yang tampak sukar semasa menghidangkan air buat suaminya.
“Nampak sangat Neelofa mengandung. Tengok cara duduk pun sudah boleh agak.
“Cara bagi air kepada suami pun boleh tahu,” demikian komen yang ditinggalkan netizen dalam TikTok.
Terdahulu, Neelofa juga terpalit dengan kontroversi sebegini pada awal Disember lalu gara-gara muncul berkerusi roda ketika tiba di lapangan terbang di Brunei.
Neelofa telah menamatkan zaman bujangnya dengan Haris pada 27 Mac 2021 dan menimang cahaya mata sulung pada 29 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE