BUENOS AIRES – Sambutan meriah kepulangan skuad Argentina yang menoktahkan kejuaraan Piala Dunia hampir bertukar tragedi apabila insiden cemas itu berlaku ketika perarakan bas terbuka membawa skuad juara yang tiba dari Qatar.
Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ezeiza pada pukul 2 pagi waktu tempatan, ribuan penyokong skuad La Albiceleste sudah memenuhi setiap ruang jalan sebelum pemain dibawa menaiki bas khas bagi meraikan kejayaan bersama peminat.
Kapten pasukan, Lionel Messi bersama Leandro Paredes, Rodrigo De Paul, Angel Di Maria dan Nicolas Otamendi dirakam berada di dek paling atas dan kesemuanya hampir terjatuh apabila bas melepasi satu kabel di jalan yang dilalui semasa perarakan.
Empat pemain termasuk Messi sempat tunduk, namun sebaliknya berlaku kepada Paredes apabila kepalanya terlanggar kabel berkenaan hingga mengakibatkan topi dipakainya tercampak, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan perarakan diteruskan mengikut perancangan.
Sepanjang perarakan, penyokong yang berada di jalanan mengibarkan bendera Argentina, malah kerajaan juga turut mengumumkan Selasa sebagai cuti umum bagi membolehkan seluruh rakyat meraikan kejayaan La Albiceleste.
“Saya mahu berada di Argentina dan sedia melihat betapa gilanya sambutan. Saya mahu mereka tunggu saya dan menikmati kejayaan ini bersama,” kata Messi.
Kemenangan ini adalah kejayaan sulung Argentina selepas kali terakhir melakukannya pada 1986.
Pengurus pasukan Argentina, Lionel Scaloni begitu bangga kerana dapat menghadirkan kegembiraan buat warga Argentina dan sambutan ini begitu mengujakannya.
“Sekarang adalah masa untuk kami menikmatinya. Kami sudah terbiasa dengan kekecewaan dan sebab itu kami tahu untuk mengharungi detik sukar dan senang.
“Untuk berada di puncak adalah sesuatu yang cukup unik dan hebat,” kata Scaloni. – AGENSI