MARSEILLE – Walaupun semakin dimamah usia, namun khidmat bintang Portugal, Cristiano Ronaldo masih diburu kelab-kelab gergasi Eropah selepas dilepaskan sebagai ejen bebas oleh Manchester United bulan lalu.
Terbaharu, pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu dikatakan berminat untuk beraksi dalam kancah Liga Perancis selepas dia didakwa mula mengadakan rundingan bersama Olympique Marseille.
Legenda Marseille, Basile Boli percaya pemain berusia 37 tahun itu berminat untuk beralih angin ke Perancis memandangkan pesaing utama, Lionel Messi beraksi cemerlang bersama Paris Saint-Germain (PSG).
“Sebelum ini pun Cristiano Ronaldo pernah berbincang dengan Olympique Marseille mengenai kemungkinan untuk datang beraksi pada Liga Perancis. Saya fikir, dia tidak patut tangguh lagi keputusan menyertai Marseille.
“Walaupun dia sudah boleh dianggap sebagai veteran, namun saingan Liga Perancis boleh tawarkan sesuatu kepadanya. Kita sendiri boleh lihat bagaimana Messi dapat menyesuaikan diri di sini,” katanya.
Untuk rekod, Ronaldo boleh dianggap antara pemain terbaik sepanjang zaman kerana sudah memenangi banyak gelaran dalam kancah bola sepak Eropah ketika menyarung jersi United, Real Madrid dan Juventus. – AGENSI