fbpx

Mahkamah: Najib beri keterangan 5 Januari, perlu kehadiran peguam pemerhati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrir

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau tidak bersedia untuk memberi keterangan secara lisan pada perbicaraan pengubahan wang haram melibatkan Tan Sri Shahrir Ab. Samad, hari ini.

Bekas Perdana Menteri memaklumkan, beliau perlu memberi keterangan dengan kehadiran peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang akan bertindak selaku peguam pemerhati pada perbicaraan tersebut.

Ujar Najib, 69, bagaimanapun Muhammad Shafee tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana beliau tidak berada di ibu negara dan memohon keterangan didengar pada 5 Januari ini dengan kehadiran peguamnya.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Najib dan menyambung keterangan saksi pendakwaan ke-22 untuk disoal balas oleh pihak pembelaan.

Saksi itu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Nurzahidah Yacop kemudian disoal balas oleh peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah.

Ketika pemeriksaan utama pada 14 Disember lalu, Nurzahidah memberitahu mahkamah, Najib menyerahkan sendiri cek RM1 juta kepada Shahrir di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, sembilan tahun lalu.

Menurut saksi, bekas Perdana Menteri menulis dan menandatangani sendiri cek AmIslamic milik beliau dan menyerahkannya kepada bekas Pengerusi Felda pada 27 November 2013.

Bekas Perdana Menteri sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-23 pada perbicaraan bekas Pengerusi Felda yang didakwa didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memohon pertimbangan mahkamah kerana Najib tidak bersedia memberi keterangan lisan dan memerlukan kehadiran peguam pemerhati.

Beliau kemudian meminta kepastian di mana Muhammad Shafee berada dan dijawab oleh Najib bahawa peguam itu tidak berada di Kuala Lumpur.

Sementara itu, permohonan tersebut tidak dibantah peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang hadir bagi pihak pembelaan.

Shahrir, 73, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.

Tindakan itu didakwa bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 25 April 2014.

Shahrir didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI