ALOR SETAR – Seorang bapa kepada lima anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun pada 10 Disember lalu.
Tertuduh yang berusia 56 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Kampung Bahagia, Mukim Guar Kepayang di Pendang, dekat sini, kira-kira pukul 8.40 malam, 10 Disember lalu.
Dalam pertuduhan dihadapinya, dia didakwa dengan maksud seksual memegang dada mangsa yang difahamkan memiliki hubungan persaudaraan dengannya.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan. – KOSMO! ONLINE