fbpx

Langkah lebih strategik bantu peniaga kecil, penjaja di Perak tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salbiah bercakap pada sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Kerajaan Perak akan merangka langkah lebih strategik dalam membantu peniaga kecil dan penjaja tahun depan, bagi memastikan bantuan diberikan benar-benar bermanfaat kepada kumpulan sasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Salbiah Mohamed, berkata, kerajaan negeri komited untuk terus membantu menyediakan pelbagai kemudahan kepada peniaga kecil dan penjaja agar kelangsungan perniagaan dan punca pendapatan mereka dapat terus diupayakan.

“Maka bagi tahun 2023, langkah yang lebih strategik akan dirangka segera agar setiap sen yang dibelanjakan oleh kerajaan negeri bagi tujuan pembangunan dan pengupayaan usahawan benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Rosli Abd. Rahman (PN-Pasir Panjang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Menurut Salbiah, aspek bantuan kewangan kepada usahawan akan turut diberi perhatian supaya dana pusingan modal perniagaan dan pembelian barangan perniagaan dapat disalurkan secara bersasar, sekali gus memberi penumpuan kepada peningkatan pendapatan peniaga kecil dan penjaja.

Jelasnya, kerajaan juga akan berusaha menyediakan ruang dan peluang terbaik bagi meningkatkan program pemasaran yang diyakini mampu membuka pasaran baharu kepada peniaga dan penjaja bagi meningkatkan pendapatan semasa mereka.

Beliau juga memaklumkan kerajaan negeri amat memahami keluh kesah yang dihadapi oleh masyarakat usahawan khususnya penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat penutupan perniagaan sepanjang pandemik Covid-19.

Justeru, menurut beliau, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif melalui Pakej Rangsangan Ekonomi sejak 2021 bagi meningkatkan pendapatan peniaga kecil dan penjaja.

Antaranya, bantuan khas ‘one off’ RM300 kepada 41,730 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan peruntukan sebanyak RM14.16 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI