PUTRAJAYA – Kerajaan akan menubuhkan satu sekretariat tetap untuk memperhalusi dan merencana pelan strategik jangka pendek serta panjang bagi menangani isu kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, pagi tadi.
“Menerusi mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu, kami telah membincangkan tentang pelaksanaan pelan-pelan mengatasi isu kos sara hidup jangka pendek dan panjang yang harus ditangani oleh kedua-dua kementerian.
“Untuk kita menggarap soalan mengatasi peningkatan kos sara hidup, kita tidak boleh bekerja bersendirian kerana isu ini merupakan agenda nasional dan misi besar perdana menteri yang mahukan kerajaan fokus kepada mengurus isu kos sara hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima sumbangan barangan makanan asas bagi pihak Food Bank Malaysia daripada syarikat Tamin Sdn. Bhd. untuk membantu mangsa banjir di kawasan terjejas di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.
Pada sesi penyerahan sumbangan itu, syarikat Tamin Sdn. Bhd. telah menyumbangkan sebanyak 1 tan barang makanan asas dianggarkan bernilai RM7,300 bagi peringkat pertama yang akan disusuli dengan penghantaran sumbangan seterusnya secara berperingkat.
Salehuddin menjelaskan, pihaknya sudah merangka pelan jangka pendek dan panjang antaranya berkaitan pertukaran data, melihat kepada kumpulan fokus, melihat dasar seperti pemberian subsidi, pendidikan yang lebih berfokus kepada pengguna.
“Ini supaya antara kita saling berinteraksi supaya tidak ada salah faham komunikasi antara pihak berkaitan termasuk KPDN dan rakyat dalam kita berusaha untuk tingkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Menurut Salahuddin lagi, dengan mewujudkan sekretariat tetap berkenaan, dua kementerian tersebut iaitu KPDN dan Kementerian Ekonomi boleh pada bila-bila masa mengadakan mesyuarat, libat urus, seminar, bengkel dan lain-lain dalam usaha untuk bergerak ke hadapan dengan lebih efisyen.
“Langkah seterusnya susulan pembentukan sekreteriat ini adalah mengadakan libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Kita juga akan melibatkan 11 lagi kementerian yang wujud dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi menjayakan perancangan strategik untuk melahirkan pelan bertindak tangani kos sara hidup,” ujar beliau.
Tambah beliau, sekretariat tetap berkenaan akan diketuai Ketua Setiausaha (KSU) KPDN dan KSU Ekonomi disamping Jabatan Perangkaan (DOSM) serta Unit perancang ekonomi (EPU).
Ketika ditanya sama ada sekretariat berkenaan akan mengganti tugas Pasukan Jihad Menangani Inflasi, Salahuddin berkata, perkara itu belum diputuskan lagi dan tidak memperincikan tempoh sekretariat tetap itu akan diwujudkan atau berfungsi secara rasmi.- KOSMO! ONLINE