PETALING JAYA- Pihak polis sedang mengesan saksi kemalangan maut melibatkan seorang lelaki warga tempatan apabila motosikal ditungganginya hilang kawalan sebelum tercampak di seberang jalan di 16.2 Kilometer (KM) Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, laporan berhubung nahas jalan raya berkenaan diterima semalam sekitar pukul 10.28 malam.
“Mangsa menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang tidak dapat dikenal pasti setakat ini.
“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 19 tahun itu dipercayai menghala ke arah Utara hilang kawalan lalu melanggar besi pembahagi jalan.
“Mangsa kemudiannya tercampak ke seberang jalan laluan bertentangan yang menghala ke arah Selatan dan dilanggar oleh sebuah kereta,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca dan sebab kematian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Sehubungan itu, pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil ke balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.