SHAH ALAM – Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman memohon doa daripada peminat selepas didakwa lagi atas dua pertuduhan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki di Mahkamah Sesyen, hari ini.
PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias,41, turut menzahirkan penghargaan kepada pemberita yang setia menunggu prosiding tersebut.
“Assalamualaikum, terima kasih kerana menunggu dan doakan saya,” katanya ringkas.
Terdahulu pada prosiding tersebut, penceramah tersebut yang lebih dikenali Cik Man mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Dua pertuduhan baharu itu menjadikan keseluruhan pendakwaan dihadapinya adalah 12 kes.
Sebelum ini, dia yang masih bujang itu didakwa lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban diikuti empat kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang serta satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang semalam.
Berdasarkan pertuduhan terbaharu itu, Azman Syah didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dalam sebuah bilik inap desa di Jalan Kebun di sini, antara pukul 12 tengah malam dan 5.30 pagi pada September 2017.
Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang masing-masing memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali mencadangkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan syarat tambahan iaitu tidak boleh mendekati mangsa serta saksi pendakwaan sehingga perbicaraan kes selesai.
“Pihak kami turut memohon kes dibicara bersama kerana kedua-dua kesalahan dalam pertuduhan berlaku pada tarikh dan masa yang sama,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Fahmi Adilah memohon jaminan rendah atas alasan faktor kewangan Azman Syah yang tiada pekerjaan dan tidak dijemput memberikan ceramah susulan kes tersebut yang mula disiasat pada September sehingga pendakwaan hari ini.
“Tertuduh sebelum ini telah membayar jaminan keseluruhan RM74,000 untuk pertuduhan di Mahkamah Seremban, Klang dan Ampang.
“Dia telah menggunakan semua simpanan untuk jelaskan jumlah jaminan itu selain dibantu ahli keluarga dan rakan-rakannya yang bersimpati,” ujarnya.
Rasyihah kemudian membenarkan jaminan RM14,000 bersama seorang penjamin dan melapor diri di tempat tinggal pada awal setiap awal bulan serta tidak menganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan supaya kedua-dua pertuduhan dibicarakan bersama-sama.
Sebutan semula kes ditetapkan 30 Januari tahun depan. – KOSMO! ONLINE