PETALING JAYA – “Biarlah kenyataan itu keluar daripada mulut Syamsul kerana ini membabitkan hal rumah tangganya”.
Demikian maklum balas pengarah dan produser terkenal, Datuk Yusof Haslam berhubung desas-desus pernikahan anak sulungnya, Syamsul Yusof, dengan wanita dikenali sebagai Ira Kazar.
Kata pemilik Skop Productions itu, tidak perlu ibu bapa yang membuat kenyataan bagi pihak anak-anak memandangkan Syamsul sudah cukup matang untuk mempertimbangkan baik buruk segala perkara.
“Saya tidak boleh komen, sebaliknya kena tanya Syamsul sendiri mengenai semua yang diperkatakan orang, tambahan pula berkaitan dirinya.
“Apa yang boleh saya cakap sekarang ialah sebagai ibu bapa kami hanya mendoakan perkara baik-baik untuk anak serta menantu kami, Puteri Sarah Liyana.
“Pada umur yang sudah mencecah 38 tahun bagi saya Syamsul cukup dewasa untuk memikirkan mana yang dirasakan baik, mahu pun buruk,” kata penerbit berusia 68 tahun itu kepada Kosmo! Online.
Kelmarin, Puteri Sarah Liyana memberi bayangan bahawa suaminya dan wanita yang didakwa orang ketiga dalam perkahwinan mereka sebenarnya telah bernikah.
Ibu kepada dua cahaya mata itu turut meluahkan keyakinan bahawa semua penipuan yang cuba disembunyikan pihak terbabit akan dapat dibuktikan suatu hari nanti.
“Soroklah selagi boleh dan kebenaran akan terbongkar. Individu narsisis seperti anda akan sentiasa memanipulasi kebenaran.
“Saya tidak mahu hadap dengan perkara toksik. Penipu akan sentiasa menjadi penipu.
“Selamat maju jaya kepada anda berdua, kedua-duanya individu toksik! Semoga semuanya akan terdedah pada tahun 2023,” luahnya.
Dia menyatakan menerima mesej dari individu yang didakwa mendapat berita Syamsul sudah berkahwin dengan wanita dimaksudkan menerusi kawannya.
Malah dalam hantaran lain, wanita berkenaan sebenarnya telah membuat pengakuan mempunyai hubungan dengan Syamsul sehari sebelum melahirkan Sumayyah.
Terdahulu, kemelut rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul yang mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 didakwa hangat sejak empat tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam yang kini berusia lima tahun dan Sumayyah, tiga tahun. – KOSMO! ONLINE