fbpx

Banjir: Lelaki hilang dua hari dijumpai lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba menemui mayat mangsa berhampiran rumahnya di Kampung Chenerai, Alor Pasir, Pasir Mas hari ini.

PASIR MAS – Seorang lelaki yang hilang semasa meredah banjir untuk mengangkat kayu di bawah rumahnya kelmarin ditemui lemas di Kampung Chenerai, Alor Pasir di sini hari ini.

Mangsa, Mohd. Razawi Ahmed, 45, yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan rumahnya pada pukul 10.45 pagi.

Saudaranya, Wan Habsah Wan Yusof, 53, berkata, dia melihat mangsa dari rumahnya yang meredah air bah setinggi 0.4 meter pada pukul 5 petang semalam bagi mengangkat kayu miliknya daripada hanyut dibawa arus banjir.

“Selepas tiga jam, mangsa tidak muncul. Ketika itu, air semakin naik menyebabkan kami sukar untuk mencarinya dan melaporkan kejadian itu kepada polis.

“Operasi mencari mangsa turut dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas,” katanya.

Wan Habsah memberitahu, mangsa yang tinggal seorang diri itu merupakan penghidap penyakit asma kronik.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan arwah penat dan terjatuh semasa mengangkat kayu di bawah rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir, penemuan mayat Mohd. Razawi merupakan kejadian lemas ketiga sepanjang enam hari Pasir Mas dilanda banjir.

Katanya, sebelum ini, seorang warga emas berusia 70 tahun lemas di Kampung Perol, Tok Uban di sini semalam dan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tiga bulan di Kampung Gual To’Deh, Rantau Panjang pada Isnin lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI