RANTAU PANJANG – Penduduk di Kampung Tasek Bakong di sini, terpaksa menggunakan air bah untuk membancuh susu anak mereka selepas terputus bekalan air bersih apabila kawasan rumah terjejas banjir sejak Ahad lalu.
Penduduk di kampung itu terpaksa berbuat demikian selepas pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibina secara bergotong-royong sebelum ini di sebuah kawasan kebun kelapa sawit ditenggelami banjir setinggi dua meter.
Wakil mangsa banjir, Che Haron Zakaria, 57, berkata, sumber air yang terputus menyebabkan mereka menggunakan air banjir untuk memasak dan minum sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, mereka tiada pilihan lain dan tidak boleh memilih apabila berada dalam keadaan darurat.
“Air banjir itu akan dimasak terlebih dahulu dan ia akan dijadikan minuman dan untuk kegunaan memasak bagi kami. Penduduk turut menggunakan air itu untuk membuat susu 10 bayi yang berada di sini.
“Sehingga kini, kami masih menunggu bantuan bekalan air bersih daripada sesiapa sahaja yang sudi meredah banjir datang ke sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Che Haron memberitahu, pada peringkat awal, lebih 200 penghuni telah berpindah ke PPS berkenaan, namun sebahagian besar terpaksa meninggalkan kawasan itu kerana air semakin naik kelmarin.
Katanya, sebahagian besar penduduk itu telah berpindah ke sebuah gudang yang terletak tidak jauh dari kawasan kampung berkenaan.
“Saya bersama 69 lagi mangsa banjir memilih untuk kekal di sini selepas melihat keadaan air semakin surut sejak petang semalam (kelmarin),” katanya. -KOSMO! ONLINE