WASHINGTON – Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) mendedahkan bahawa pihaknya merampas lebih 379 juta dos fentanyl sepanjang tahun ini, cukup untuk membunuh semua penduduk Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar New York Post kelmarin.
Menurut kenyataan dikeluarkan agensi persekutuan, ejen-ejen DEA merampas lebih 50.6 juta pil fentanyl, meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu di samping lebih 10,000 serbuk fentanyl sejak Januari tahun ini.
Opioid atau ubat tahan sakit sintetik seperti fentanyl menyebabkan ketagihan teruk itu 50 kali ganda lebih kuat berbanding heroin.
Hanya 2 miligram fentanyl, sudah cukup untuk membunuh seseorang.
“Rampasan-rampasan dos dadah yang boleh membunuh semua rakyat AS ini menggambarkan komitmen berterusan DEA dalam melindungi penduduk negara ini serta menyelamatkan nyawa.
“Ia juga menunjukkan kegigihan DEA untuk memburu dalang-dalang yang menyeludup fentanyl di seluruh AS,” kata Pentadbir DEA, Anne Milgram.
Tambah Milgram, keutamaan DEA kini adalah untuk menumpaskan kartel dadah dari Mexico iaitu Sinaloa dan Jalisco.
Kedua-dua kumpulan itu adalah dalang utama menyeludup fentanyl ke seluruh AS.
Menurut DEA, kebanyakan opioid buatan manusia yang diseludup masuk oleh kartel Sinaloa dan Jalisco dihasilkan secara besar-besaran di beberapa kilang rahsia di Mexico dengan sumber bahan kimia sebahagian besarnya diimport dari China. – Agensi