fbpx

141 pegawai, anggota bomba terjejas banjir terima bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Akmal Nasrullah (dua dari kanan) melawat Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesan seramai 141 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut terkesan akibat banjir di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kerajaan bercadang untuk memberi bantuan atau insentif bagi membantu mereka yang tetap bertugas meskipun turut menjadi mangsa banjir.

Katanya, anggota dan pegawai JBPM bukan sahaja bertugas menyelamat mangsa banjir malah turut menyelamat keluarga mereka sendiri yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Mereka tetap bertugas walaupun diri sendiri ditimpa bencana dan perkara ini perlu diambil kira.

“Sehubungan itu, insentif atau bantuan perlu diberikan kepada mereka yang terlibat atas komitmen tugas mereka yang tetap bekerja membantu mangsa banjir,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, jumlah anggota bomba yang bertugas setakat ini mencukupi meskipun terlibat bagi operasi banjir di Pantai Timur dan tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.

Menurutnya, penambahan anggota bomba yang bertugas akan dibuat jika diperlukan dan Kelantan turut menerima bantuan daripada anggota di kawasan berhampiran yang tidak terkesan banjir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI