TUMPAT – Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa selama 30 minit menziarahi keluarga tiga beradik perempuan yang maut akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak di sini hari ini.
Beliau tiba pukul 6.30 petang sebelum bertemu kedua ibu bapa mangsa, Mohd. Nadzir Mohamed, 67 dan Zainun Sulaiman, 62, sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan hari ini.
Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menzahirkan rasa simpati dengan kejadian tragis yang menimpa tiga anak perempuan Mohd. Nadzir.
“Mereka sangat kuat untuk menghadapi kehilangan tiga anak ini. Ketiga-tiga mangsa dikategorikan sebagai mangsa banjir dan akan diberikan pampasan bagi meringankan bebanan keluarga.
“Saya mengharapkan pihak berwajib dapat menitikberatkan aspek keselamatan dan persekitaran agar tidak berulang tragedi seperti ini,” katanya ditemui pemberita di Kampung Bendang Surau, Morak di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, tiga beradik iaitu Nurul Syazwani, 33 bersama dua adiknya, Sakinah, 29 dan Noor Fathiah, 27, maut terkena renjatan elektrik selepas menyentuh tiang di rumah jiran mereka yang digenangi banjir.
Ketiga-tiga mereka dikatakan ingin melihat paras air di sekitar rumah dan sempat merakamkan gambar kenangan serta berkongsi di kumpulan WhatsApp keluarga sebelum berlaku tragedi.- KOSMO! ONLINE