PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Vantage RE Ltd. (Vantage RE) telah menandatangani kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) dengan Belectric GmbH (Belectric) untuk pembinaan dan pentauliahan ladang solar 102MW di United Kingdom (UK).
Kerjasama tersebut juga akan memberi pilihan untuk membangunkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) 65MW setempat dan berupaya meningkatkan aliran hasil TNB melalui penyertaan dalamperkhidmatan sampingan dan pasaran kapasiti.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pelaburan ini adalah satu pencapaian penting bagi TNB sempena perluasan penglibatannya dalam pembangunan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di United Kingdom.
Menurut beliau, ladang solar tersebut dijangka mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) menjelang suku pertama 2024.
“Apabila beroperasi kelak, ladang yang dibangunkan di dua lokasi itu dijangka memberikan hasil jangka panjang yang stabil di bawah skim subsidi Contract-for-Difference (CfD) selama 15 tahun yang telah diperolehi pada Julai 2022.
“Pasukan Vantage RE akan memantau pelaksanaan projek ini yang bakal menjana tenaga bersih dalam memenuhi keperluan tahunan 37,000 kediaman, serta menghindari pelepasan lebih 46,750 tan karbon dioksida (CO2) berbanding penjanaan bahan api fosil.
“Kedua-dua tapak juga menawarkan peluang inisiatif terhadap alam sekitar yang menggalakkan faedah kepelbagaian biodiversiti, sekali gus menyokong agenda biodiversiti TNB yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Baharin menjelaskan, kerjasama ini adalah penting ke arah perniagaan TNB yang kalis masa depan dalam peralihannya kepada ekonomi hijau dan memastikan ia terus menjaga kepentingan nilai pemegang sahamnya.
“Pengalaman dan kepakaran kami dalam membangunkan ladang solar di Malaysia melalui projek solar berskala besar (LSS) penting dalam memastikan projek ini berjaya, seterusnya mengukuhkan kehadiran kami dalam lapangan TBB UK,” ujarnya.
Tambah beliau, pelaburan tersebut telah meningkatkan kapasiti TBB TNB di UK kepada 632MW, pertumbuhan ketara 61 peratus dalam kapasiti MW sejak pelancaran Vantage RE pada Julai 2021. -KOSMO! ONLINE