SEOUL – Korea Selatan berdepan masalah beribu-ribu penduduknya meninggal dunia keseorangan setiap tahun dengan ramai antara mereka di pertengahan usia, lapor portal berita CNN semalam.
Ramai daripada penduduk berkenaan diketahui meninggal dunia sama ada oleh jiran, kenalan atau saudara-mara mereka, hanya selepas beberapa hari atau minggu kemudian. Trend menyedihkan itu dikenali sebagai ‘godoksa’ (kematian sepi) di Korea Selatan.
Ia merupakan fenomena meluas yang cuba ditangani oleh kerajaan selama bertahun-tahun ketika penduduknya semakin meningkat usia.
Di bawah undang-undang Korea Selatan, kematian sunyi adalah apabila seseorang yang tinggal bersendirian dan sebatang kara, meninggal dunia kerana membunuh diri atau sakit dengan mayat mereka ditemui hanya selepas tempoh tertentu.
Isu tersebut mendapat perhatian sejak sedekad lalu apabila jumlah kematian sepi meningkat, manakala faktor di sebalik trend tersebut termasuk krisis demografi negara, jurang dalam kebajikan sosial, kemiskinan dan pengasingan sosial.
Semua faktor tersebut menjadi semakin ketara sejak pandemik Covid-19 melanda Korea Selatan.
Pada tahun lepas, Korea Selatan mencatatkan 3,378 kematian godoksa, meningkat daripada 2,412 orang pada tahun 2017, demikian menurut laporan yang dikeluarkan pada Rabu minggu lalu oleh Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Korea Selatan.
Walaupun kematian sepi memberi kesan kepada orang ramai, laporan itu menunjukkan bahawa lelaki berusia pertengahan umur dan warga emas kelihatan sangat berisiko berdepan situasi tersebut.
Bilangan lelaki yang mengalami kematian sepi adalah 5.3 kali ganda lebih ramai berbanding wanita pada tahun 2021, meningkat empat kali ganda daripada sebelumnya.
Penduduk yang berumur dalam lingkungan 50-an dan 60-an membentuk sehingga 60 peratus daripada kes kematian sepi pada tahun lepas dengan jumlah yang besar melibatkan usia dalam lingkungan 40-an hingga dan 70-an.
Mereka yang berumur 20-an dan 30-an juga menyumbang sebanyak 6 peratus hingga 8 peratus kematian menyedihkan itu.
Korea Selatan adalah salah satu daripada beberapa negara Asia termasuk Jepun dan China yang sedang berdepan kemerosotan demografi dengan warganya mempunyai bilangan bayi yang rendah. – Agensi