fbpx

TLDM ucap takziah kepada warga tentera laut Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian yang menimpa kapal HTMS Sukhothai milik TLDT pada 18 Disember lalu.

PETALING JAYA – Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan warganya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga anggota Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT) atas musibah yang berlaku kepada His Thai Majesty’s Ship (HTMS) Sukhothai pada 18 Disember lalu.

TLDM dalam kenyataan berkata, pihaknya berharap dan mendoakan semoga warga HTMS Sukhothai yang masih hilang dapat ditemui dalam keadaan selamat.

“TLDM amat memahami keadaan dan situasi yang dihadapi pengurusan tertinggi TLDT apatah lagi warga kapal tersebut yang terpaksa melaksanakan operasi dalam situasi laut yang bergelora dan keadaan kapal yang berusia 35 tahun.

“Pastinya terdapat banyak cabaran dan kekangan yang dilalui bagi memastikan kapal berkenaan siap siaga untuk diaturgerak sebilang masa,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, sebanyak 58 peratus daripada kapal-kapal TLDM berusia jauh lebih tua daripada HTMS Sukhothai.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru rakyat Malaysia untuk mendoakan agar perkara serupa tidak akan menimpa kapal-kapal TLDM.

“Tanpa apa-apa tindakan drastik dari kerajaan dalam menangani isu bajet pertahanan sekali gus isu keusangan aset-aset kita, masalah ini akan terus membelenggu TLDM untuk jangka waktu yang panjang.

“Dalam masa yang sama, TLDM akan mengkaji semula kesemua SOP berkenaan ‘sea worthiness’ dan penugasan kapal-kapal kita yang jauh lebih tua berbanding HTMS Sukhothai,” ujarnya.

Terdahulu, HTMS Sukhothai dilaporkan karam kira-kira 37 kilometer dari luar pesisir pantai tenggara Thailand. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI