fbpx

Tanah runtuh: Mayat kanak-kanak perempuan ditemui tertimbus 17 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafisham pada sidang akhbar perkembangan terkini operasi pencarian mangsa tanah runtuh Father’s Organic Farm, hari ini. - Foto SHIDDIEQIIN ZON

HULU SELANGOR – Mayat kanak-kanak perempuan yang juga mangsa ke-25 kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highlands di sini, ditemui di bawah runtuhan tanah sedalam 17 meter di Sektor C (Riverside), malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, mangsa ditemui pada pukul 10.49 malam tadi disebalik batu besar selepas tanah runtuh berkenaan dikorek menggunakan jengkaut.

Menurut Hafisham, Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sebelum ini hanya mengorek tanah runtuhan sedalam tujuh hingga lapan meter sebelum beralih ke lokasi lain disebabkan terdapat batu besar.

“Sebelum ini kita korek dalam tujuh ke lapan meter, sebelum kita berhenti pergi ke kawasan lain, kita ingat kedalaman sudah cukup sebab kita jumpa batu besar.

“Rupanya dengan bantuan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) tanah itu dalam lagi, jadi kita korek lagi,” katanya pada pemberita.

Menurut Hafisham, usaha mencari di Sektor C sedang giat dilaksanakan di mana timbunan tanah runtuh akan dialih menggunakan jengkaut sebelum dibuang ke kawasan lain bagi memudahkan pasukan SAR mengesan lapan lagi mangsa.

“Kita akan korek tanah dan buang terus ke tempat lain. Maknanya kita bersihkan tempat itu dan usaha kita akan perinci satu persatu supaya kita dapat jumlah mangsa.

“Petunjuk baharu ini juga merupakan petunjuk baik kepada pasukan SAR dan insya-Allah doakan kita akan berjaya hari ini dan selamat daripada sebarang bahaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mayat kanak-kanak perempuan dianggarkan berusia antara enam hingga 10 tahun itu ditemui pasukan penyelamat berpakaian baju tidur berwarna merah jambu.

“Turut dijumpai empat beg mengandungi pakaian dan laptop, namun tiada sebarang pengenalan diri dijumpai di dalam beg atau di samping mayat tersebut,” katanya.

Tambahnya, mayat kanak-kanak perempuan berkenaan dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI